Guan Eng akan beri keterangan pada prosiding taksir ganti rugi saman Raja Petra

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng akan memberi keterangan pada prosiding menaksir jumlah ganti rugi saman fitnah beliau terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Peguam Lim, Simon Murali memberitahu pemberita pentaksiran jumlah ganti rugi itu susulan penghakiman ingkar yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepada Lim pada 28 Feb.

“Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini untuk pendengaran dan kami memaklumkan mahkamah yang setakat ini hanya seorang saksi pihak plaintif akan memberi keterangan iaitu Lim sendiri,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Rohani Ismail di kamar hari ini.

Pada 28 Feb, Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak menentang saman berkenaan.

Lim memfailkan saman fitnah pada 6 Sept tahun lepas berhubung siri artikel “Dari Fail SPRM” yang disiarkan dalam versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh laman Malaysia Today kepunyaan Raja Petra antara 24 Feb hingga 15 Mac 2019.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dalam projek prasarana berkenaan.

Lim menuntut ganti rugi teladan atas alasan Raja Petra mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca yang ramai bagi semua artikel.

Beliau juga menuntut permohonan maaf di halaman muka depan dan perintah injunksi menghalang penulis blog itu mengulangi dakwaannya.

Setiausaha agung DAP itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan Lim melalui 3 akhbar pada 10 Feb tahun ini.

Sebelum itu, Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhirnya yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.