Kuliah agama, kelas mengaji di masjid dibenarkan

PETALING JAYA: Aktiviti kuliah dan solat dhuha dibenarkan di masjid dan surau bermula minggu ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, kelas mengaji dan fardhu ain juga dibenarkan dengan syarat penjarakkan sosial dipatuhi.

“Kebenaran ini juga tertakluk kepada SOP yang ditetapkan serta mengikut saiz dan kapasiti masjid dan surau.

“Masjid dan surau juga diberi kebenaran untuk mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat tertakluk kepada SOP yang ditetapkan bermula Jumaat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis menahan 55 individu atas pelbagai kesalahan pada hari ke-21 perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu 11 individu direman manakala 44 individu lagi dikenakan kompaun. Antara kesalahan dilakukan termasuk aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga, refleksologi aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, 3 warganegara asing ditahan atas kesalahan imigresen dalam sekatan jalan raya Operasi Benteng.

Pihak berkuasa memeriksa 42,955 kenderaan dalam 66 sekatan jalan raya bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin.