Lebih 600 polis kawal hari mengundi PRK Chini
Semua pegawai and anggota terlibat diberi latihan pengendalian kerana masih wujud ancaman Covid-19.
PEKAN: Lebih 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini Sabtu ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said.
Bagi melancarkan proses pengundian itu, yang melibatkan normal baru dan pelaksanaan SOP berikutan masih wujud ancaman Covid-19 , semua mereka diberikan latihan pengendalian.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan mengadakan penugasan di 4 peringkat iaitu pada hari penamaan calon, semasa berkempen, hari pengundian, serta penjumlahan dan pengumuman keputusan pilihan raya.
“Semasa tempoh berkempen PRK ini, kita telah menyediakan lebih 400 anggota polis dan semasa mengundi pula, kita sediakan lebih 600 anggota untuk membantu memastikan SOP pilihan raya ini dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ziarah ke 3 buah rumah asnaf di sekitar Felda Chini 2 hari ini.
Ismail berkata mesyuarat penugasan PRK DUN Chini yang melibatkan polis, Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat kepada gerak kerja, yang antara lain tertumpu kepada aspek pematuhan SOP, kelancaran trafik, dan keselamatan awam.
Pihak media turut diberi taklimat mengenai garis panduan liputan sepanjang hari pengundian nanti.
PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
PRK DUN Chini diadakan bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia pada 7 Mei lepas.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi. PRK DUN Chini, 1 daripada 4 DUN bawah Parlimen Pekan, menjadi PRK pertama selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.