Malaysia ambil tindakan undang-undang ke atas kempen anti-sawit EU

Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia akan terus komited dalam mempertahankan kepentingan industri sawit yang banyak menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

PETALING JAYA: Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) melalui mekanisme penyelesaian pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), susulan kempen anti-minyak sawit dilancarkan kesatuan itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan undang-undang itu sejajar prinsip dan amalan perdagangan yang digariskan WTO.

“Polisi dilaksanakan EU dalam ‘Delegation Regulation’ di bawah ‘Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) mewujudkan sekatan tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang sedang dilaksanakan Malaysia serta seterusnya menyekat amalan perdagangan bebas.

“Tindakan diskriminasi EU ini akan menyebabkan lebih 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak negatif, termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, berdasarkan “Delegated Regulation” yang ditetapkan EU pada Mac lalu, minyak sawit dikategorikan mempunyai kadar perubahan kegunaan tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi dan dijangka memberi kesan kepada jumlah eksport minyak sawit ke negara EU.

“’Delegated Regulation’ di bawah EU RED II ini dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kredibiliti saintifik dan terdapat banyak andaian dibuat memberikan gambaran tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian diamalkan dalam industri sawit negara.

“Selain itu, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan mempunyai kadar risiko ILUC yang tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi sumber bio bahan api.”

Katanya, Malaysia akan terlibat sebagai pihak ketiga dalam pemfailan kes yang dibuat Indonesia dan sebagai tanda sokongan serta solidariti sebagai pengeluar sawit bersama negara jiran itu.

“Malaysia akan terus komited dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.”

Malaysia dan Indonesia mengeluarkan hampir 90% minyak sawit dunia.

Pada Januari 2018, Parlimen EU meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan dengan cara tidak mampan menjelang 2030.

EU memberi alasan minyak sawit yang digunakan secara meluas boleh menjejaskan cita-cita Eropah melestarikan sektor pengangkutan, jika komoditi itu digunakan sebagai biodiesel.

Komoditi itu ialah eksport utama Malaysia ke EU yang menyumbang 49% daripada import dari rantau ini.