Pekilang seru penyedia tenaga bantu industri pulih

FMM menyeru Gas Malaysia Energy Services Sdn Bhd menangguhkan keputusan untuk mengenakan caj gas berlebihan bermula Julai 2020 sehingga ekonomi pulih. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyeru penyedia tenaga memberikan lebih banyak bantuan untuk membantu industri mengharungi kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Presiden Soh Thian Lai berkata penurunan tarif elektrik secara keseluruhan adalah dijangkakan susulan penurunan harga bahan bakar, mengatakan ini boleh membantu meringankan tanggungan pekilang pada masa ini.

FMM sudah bertemu pihak berkuasa tenaga dan merayu diskaun tarif elektrik dilanjutkan untuk 2 bulan lagi dengan kemungkinan diskaun sehingga 5% lagi diberikan.

“Kebanyakan syarikat, terutama dalam kategori bukan perlu, tidak dapat manfaat daripada diskaun pada April dan Mei.

“Penggunaan hampir sifar atau minimum kerana pengeluaran terhenti kerana perintah kawalan pergerakan,” katanya, dan menambah syarikat berkenaan masih perlu menanggung overhed dan kos tetap.

Beliau menyeru harga gas asli dikaji semula memandangkan penurunan harga minyak global, mengatakan Indonesia sudah melaksanakan pengurangan sebanyak 25%.

Presiden FMM, Soh Thian Lai.

Beliau juga berkata bil bagi Februari dan Mac harus diperuntukkan seperti mana pengguna kediaman diberi pilihan untuk membayarnya, manakala penalti bayaran lewat diketepikan.

“FMM menyeru Gas Malaysia Energy Services Sdn Bhd (GMES) menangguhkan keputusan untuk mengenakan caj gas berlebihan bermula Julai 2020 sehingga ekonomi pulih,” katanya.

Soh berkata pihak berkuasa tenaga juga patut ketepikan fasal penalti “ambil-atau-bayar” memandangkan impak berpanjangan pandemik ke atas perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Beliau meminta kiraan caj permintaan maksimum bagi Mac dikaji semula menurut bilangan hari syarikat beroperasi semasa PKP.

“Jabatan Perangkaan menunjukkan, sektor perkilangan dalam iklim ekonomi sejagat semasa akan memerlukan masa untuk kembali pulih kerana ia amat bergantung kepada permintaan sejagat.

“FMM menyeru relif ini segera diberi pertimbangan sewajarnya bagi menyokong kemapanan perniagaan dan pekerjaan memandangkan ketaktentuan luaran dan tempoh pemulihan yang panjang.”