Putrajaya tunggu timbal balas Singapura beri kelonggaran pada rakyat Malaysia

Ismail Sabri Yaakob berkata, hubungan dua hala Singapura-Malaysia sepatutnya memanfaatkan kedua-dua negara dan rakyatnya untuk keluar masuk tanpa sebarang sekatan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata perlu ada timbal balas daripada Singapura selepas Putrajaya memberi kelonggaran kepada rakyatnya memasuki Malaysia.

Ini kerana katanya, 250,000 rakyat Malaysia yang sebelum ini berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja masih terkandas di dalam negara dan tidak dapat ke republik itu bekerja.

“Kita akan beri kelonggaran lagi kepada rakyat mereka, tertakluk kepada keputusan perbincangan antara kedua-dua negara. Saya harap perlu ada timbal balas, mereka mesti benarkan rakyat kita masuk ke negara mereka.

“Hubungan dua hala ini sepatutnya mendapat faedah bagi kedua-dua negara. Saya harap ia dapat diselesaikan supaya rakyat kedua-dua negara bebas masuk tanpa sebarang sekatan, tidak sepertimana syarat yang diperkenalkan sewaktu kuarantin dahulu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail berkata, rakyat Singapura hanya perlu menunjukkan sijil “fit to travel” untuk memasuki Malaysia tanpa perlu dikuarantin 14 hari, selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di negara itu.

“Itu syarat sehingga hari ini, tetapi ia masih tertakluk kepada perbincangan antara Kementerian Luar Malaysia dan Singapura. Hal ini kerana pihak Singapura belum melonggarkan kemasukan rakyat kita ke negara mereka.”

Sementara itu, Ismail berkata, polis akan menjejaki individu pulang dari luar negara yang menjalani kuarantin 14 hari di rumah, tetapi enggan menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13.

“Ada 1,400 orang yang degil, kita akan hantar polis cari mereka supaya mereka jalani ujian saringan kali kedua.

“Sama ada hendak tunggu polis datang atau mereka sendiri pergi ke klinik untuk buat saringan kali kedua, atau boleh telefon Kementerian Kesihatan untuk buat temujanji.”

Beliau mengingatkan individu yang menjalani kuarantin di rumah supaya mematuhi arahan dan SOP ditetapkan, seperti memakai gelang tangan khas dan hanya menanggalkannya selepas saringan kedua Covid-19.

“Walaupun kita benarkan kuarantin di rumah, mereka perlu patuhi SOP, antaranya memakai ‘wrist band’ yang membolehkan mereka balik ke rumah dan tidak keluar dari rumah, bahkan dari bilik sekalipun. Pada hari ke-13, mereka mesti jalani saringan untuk kali kedua.

“Apabila mereka jalani saringan kali kedua, jika didapati negatif, kita akan potong ‘wrist band’ yang menunjukkan mereka bebas, tetapi mesti lakukan saringan. Kalau tidak lakukan saringan, mereka sudah melanggar SOP dan tindakan boleh diambil.”

Katanya, aktiviti membabitkan perubatan tradisional seperti berbekam dan urutan oleh bidan dibenarkan sejajar keputusan Putrajaya membenarkan pusat urutan spa beroperasi semula.