Sarawak benarkan pawagam operasi semula

SOP untuk operasi pawagam yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perumahan akan dilaksanakan segera.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memutuskan untuk membenarkan pawagam memulakan operasi hari ini.

Douglas Uggah Embas

Pengerusinya, Douglas Uggah Embas berkata SOP untuk operasi pawagam di negeri itu yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perumahan akan dilaksanakan segera.

Katanya, warga asing yang tinggal di Malaysia secara berterusan selama 30 hari dibenarkan memasuki Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Bagaimanapun, mereka (warga asing) perlu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri menerusi http://sdmc.sarawak.gov.my sebelum masuk ke negeri ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Uggah berkata tiada kes positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak hari ini.

Setakat ini, 571 kes positif dilaporkan di Sarawak dengan kematian kekal 17 kes.