Selangor benar solat Jumaat, fardhu berjemaah di semua masjid bermula 3 Julai

PETALING JAYA: Sultan Selangor bersetuju semua masjid dan surau di negerinya dibuka untuk solat Jumaat dan Fardhu bermula 3 Julai, selepas mendengar taklimat daripada pihak berkuasa kesihatan dan agama mengenai situasi Covid-19.

Setiausaha Sulit Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini menjelaskan kebenaran itu tertakluk kepada tatacara operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, bilangan jemaah maksimum ditetapkan 1,000 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa, bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya.

Bagi masjid lain pula, bilangan jemaah maksimum ditetapkan pada 500 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa, tetapi tertakluk kepada kapasiti.

Bilangan jemaah maksimum bagi surau pula ditetapkan pada 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa.

Munir berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah memerintahkan setiap jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor, khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka, dan mengamalkan penjarakkan sosial.

“Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau,” katanya.