Tahun 5 dan 6, sekolah menengah dibuka semula 15 Julai

Pelajar Tingkatan 6 semester 1 dan kelas peralihan turut akan bermula 15 Julai ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan semua pelajar sekolah menengah, Tahun 5 dan 6 akan memulakan persekolahan pada 15 Julai ini.

Menterinya, Mohd Radzi Jidin berkata, ia termasuk pelajar Tingkatan 6 semester 1 dan kelas peralihan.

Katanya, pelajar Tahun 1 hingga 4 hanya akan memulakan persekolahan pada 22 Julai ini.

“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 24 Jun lalu, sekolah dibuka kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Vokasional Malaysia (STVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sekolah di seluruh negara ditutup sejak cuti sekolah penggal pertama pada 14 Mac lalu akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

3 model pembukaan sekolah

Mengulas lanjut, KPM mengenal pasti 3 model pengoperasian pembukaan penuh sekolah untuk panduan pentadbir sekolah mengikut kesesuaian, iaitu model 1 sesi, model 2 sesi, dan model penggiliran.

Model 1 Sesi untuk sekolah mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam 1 sesi, selepas mengambil kira penjarakkan sosial.

Model 2 Sesi untuk sekolah sedia ada yang beroperasi secara 2 sesi, atau sekolah 1 sesi yang perlu mengadakan 2 sesi kerana masalah ruang.

Model penggiliran pula untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menempatkan semua murid walaupun dengan model 2 sesi.

“Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.

Bagi model penggiliran, pelajar Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari, manakala Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir. Murid Tahun 1 hingga 6 juga boleh hadir secara bergilir.

“Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara ‘hybrid’, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara ‘home-based learning’ untuk hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah,” katanya.

Maklumat senarai sekolah mengikut model yang ditetapkan akan dimaklumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

KPM mendapati pengajaran dan pembelajaran murid secara dalam talian dan “home-based learning” kurang berkesan berbanding bersemuka.

Memandangkan SPM 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, KPM akan mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut.

“Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun depan berjalan lancar.”

Sekolah berasrama

Radzi berkata, bagi asrama yang menggunakan katil 2 tingkat, semua murid dijangka kembali ke asrama dalam masa 28 hingga 42 hari bermula 24 Jun lalu.

“Mengikut saranan Kementerian Kesihatan, pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah.

“Selepas 14 hari, kumpulan murid baru dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas, manakala murid baru di katil bawah. Prosedur ini diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.”

Sementara itu, katanya, keputusan kemasukan Tingkatan 6 semester 1 boleh disemak di portal KPM mulai hari ini.