Aduan jenayah siber meningkat lebih 90% semasa PKP

Penipuan siber juga melibatkan penggunaan data peribadi dalam media siber, penipuan siber serta penipuan pinjaman mudah dalam talian. (Gambar Fail)

CYBERJAYA: Sebanyak 3,906 aduan dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dalam tempoh 18 Mac hingga 30 Jun tahun ini ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), meningkat lebih 90% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata, kes yang dilaporkan termasuk gangguan siber, penipuan, pencerobohan, percubaan pencerobohan dan spam, yang kebanyakannya berlaku di kawasan bandar yang mempunyai kelajuan internet yang tinggi ketika PKP.

“Pelbagai jenis aduan datang kepada kami dengan corak modus operandi yang pelbaga,i termasuk pakej promosi ejen yang mengaku mereka daripada syarikat telco yang tidak telus,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan memorandum aduan pengguna perkhidmatan telekomunikasi dan jenayah siber oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Pusat Bantuan Cyber999 kendalian MyCERT di bawah CyberSecurity Malaysia memberikan tindak balas kecemasan mengenai hal berkaitan keselamatan komputer seperti gangguan siber, perisian hasad, pencerobohan, cubaan penggodaman dan pelanggaran keselamatan maklumat lain.

Zahidi Zainul Abidin

Menurut Zahidi, ada pakej tawaran menjanjikan pelbagai kemudahan percuma, tetapi dalam beberapa bulan, bil melambung sehingga mencecah RM5,000.

“Kebanyakan mangsa adalah pelajar sehingga ada yang disenaraihitamkan kerana tidak mampu membayar bil,” katanya.

Isu penipuan siber juga melibatkan penggunaan data peribadi dalam media siber, penipuan siber, penipuan pinjaman mudah dalam talian.

Katanya, kerajaan memandang serius isu jenayah siber termasuk kes penipuan dalam talian dan judi dalam talian haram.

Zahidi berkata, perbincangan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity dan syarikat swasta telah diadakan bagi mereka mengambil peranan dalam mengekang jenayah siber yang semakin berleluasa.