Airbnb catat lonjakan tempahan penginapan domestik hampir 190%

Airbnb berkata, destinasi bukan bandar yang dikunjungi seperti Cameron Highlands, Kuala Terengganu, Port Dickson dan banyak lagi mewakili hampir 64% tempahan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian global, Airbnb, menyaksikan peningkatan ketara dalam tempahan domestik di Malaysia, melonjak hampir 190% bulan ke bulan.

Dalam satu kenyataan ia berkata, dalam tempoh 30 hari lepas, 93% daripada jumlah tempahan yang dibuat di Airbnb ialah untuk destinasi domestik.

“Ini selaras dengan pengumuman perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri, sekali gus menyaksikan perhatian bertukar ke arah pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini.

“Walaupun industri pelancongan terjejas oleh Covid-19, data dalaman Airbnb menunjukkan tanda-tanda positif pelancongan bangkit semula didahului trend yang akan mencorakkan hala tuju pelancongan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya.

Berdasarkan data tempahan terkini, destinasi domestik paling popular sepanjang 30 hari lepas di Malaysia, termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Destinasi bukan bandar turut dikunjungi seperti seperti Cameron Highlands, Kuala Terengganu, Port Dickson dan banyak lagi dengan hampir 64% tempahan.

Walaupun dunia sedang mengalami pengurangan pelancongan, Airbnb berkata, ia masih berpotensi menjana berbilion dolar untuk ekonomi domestik.

Pada tahun 2019, impak ekonomi langsung Airbnb di 30 pasaran teratas mencapai AS$117 bilion, iaitu peningkatan 17% sepanjang tahun 2018.

Pengarah rantau (Asia-Pasifik) Kum Hong Siew berkata, Airbnb melihat tanda-tanda positif awal menunjukkan pelancongan domestik sudah bersedia untuk bangkit semula, didorong oleh penduduk tempatan yang menempah percutian dalam negara.