Anwar mahu Petronas jelaskan peletakan jawatan CEO

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pembangkang mendesak Petronas segera menjelaskan dan memperincikan peletakan jawatan CEO yang lebih awal dari tarikh kontraknya bulan lalu, selepas syarikat minyak negara itu menyangkal laporan antarabangsa mendakwa ia berkait rapat dengan kerajaan Sarawak.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata peletakan jawatan Wan Zulkiflee Wan Ariffin selepas hampir 4 dekad bersama Petronas “ternyata mengundang banyak persoalan”.

Tarikh kontrak Wan Zulkiflee dikatakan sepatutnya berakhir pada April 2021. Sebelum ini, kontraknya diperbaharui mulai 1 April 2018 untuk tempoh 3 tahun.

“Rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah,” katanya dalam kenyataan.

Anwar tertanya apakah ada campurtangan kerajaan dalam hal itu, dan menarik perhatian kepada penilaian semula unjuran Malaysia dan Petronas dari stabil ke negatif oleh badan penarafan S&P Global Ratings baru-baru ini.

“Apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campurtangan kerajaan dalam Petronas. Ia juga menggesa agar dijelaskan berkaitan bayaran yang dibuat kepada Sarawak,” katanya.

Anwar memberi amaran ketidakstabilan di Petronas memberi kesan yang negatif kepada ekonomi dan mengesankan pelabur.

“Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa,” katanya.

Reuters, memetik beberapa sumber, berkata Wan Zulkiflee meletak jawatan seleaps tidak bersetuju dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung rancangan membayar RM2 bilion cukai jualan kepada kerajaan Sarawak.

Menurut laporan itu, bayaran tambahan itu akan memberi kesan pada Petronas dan belanjawan negara ketika pandemik koronavirus memberi kesan pada harga minyak dan boleh menimbulkan tanda tanya mengenai pengurusan kewangan kerajaan.

Petronas menafikan laporan itu, mengatakan dakwaan konflik melibatkan perdana menteri, Petronas, dan para pemegang saham “hanya laporan spekulatif tanpa asas”.

Syarikat minyak negara itu juga beritahu Bernama, ia “dengan kerjasama pemegang sahamnya” dalam proses perbincangan dengan kerajaan Sarawak untuk mencapai penyelesaian komersial “yang sesuai”.