Datanglah semula ke Sabah, kata agensi pelancongan susulan pelancaran kempen digital

Kembara sungai Sukau Kinabatangan di pantai timur Sabah merupakan tarikan pelancong popular. (Gambar Lembaga Pelancongan Sabah)

KOTA KINABALU: Selepas menderitai kesan penularan wabak Covid-19 selama beberapa bulan, pemain industri pelancongan tempatan memperoleh rangsangan baru susulan pelancaran kempen digital bagi menggalakkan pelancongan domestik oleh agensi utama sektor itu di Sabah.

Lembaga Pelancongan Sabah (STB) semalam melancarkan program #BahMarilah yang akan berjalan sehingga 31 Ogos depan.

Individu yang membeli pakej daripada laman web khas (www.sabahtourism.com/deals/) layak memasuki cabutan bertuah dengan 20 pemenang diberikan ganjaran 1 pakej tambahan kembara tempatan.

Pengurus besar STB Noredah Othman berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk meneroka negeri Sabah dalam tempoh itu.

“Tujuan utama kempen ini ialah untuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa kami telah bersedia dan amat mengalu-alukan kedatangan pelawat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, negara kini berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan industri pelancongan turut menyediakan promosi pada kadar yang baik.

Noredah Othman

“Kinabatangan merupakan destinasi pelancongan keluarga yang hebat. Ia mendedahkan kanak-kanak kepada alam sekitar dan hidupan liar yang kita ada.

“Sementara itu Semporna terkenal dengan pulau di sekitar perairannya.

“Tempat seperti Tenom dan Keningau yang terkenal dengan pelancongan agro dan budayanya yang unik juga merupakan lokasi istirehat hujung minggu yang menarik. Atau pelawat boleh mengunjungi pantai Kudat yang cantik.

“Tedapat banyak aktiviti dan tempat menarik di Sabah,” katanya.

Noredah berkata, kempen itu juga membolehkan STB menilai kesediaan orang ramai untuk melancong berikutan wabak Covid-19 dan sekatan pergerakan yang dilaksanakan.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk menganalisis dan menilai tahap penerimaan pasaran dari segi pelancongan. Inilah kelebihan menganjurkan kempen digital,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Sabah boleh mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 4.18 juta orang tahun ini, Noredah berkata, “sasaran itu pasti tidak akan tercapai disebabkan oleh wabak Covid-19, tetapi oleh sebab aktiviti pelancongan kini beransur-ansur pulih semula, kita akan terus menilai dan mengubah suainya.

Beliau berkata, selain destinasi pelancongan, STB turut membantu pengeluar produk tempatan melalui anak syarikatnya Sri Pelancongan Sabah dengan mendapatkan bekalan secara langsung daripada pengeluar.