DoJ sedang dapatkan lagi hartanah, karya seni bernilai jutaan ringgit berkait 1MDB

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang mendapatkan hartanah dan karya seni bernilai kira-kira AS$96 juta yang dikaitkan dengan 1MDB, termasuk lukisan oleh Claude Monet dan Andy Warhol.

Jabatan Kehakiman (DoJ), yang setakat ini sudah dapat aset bernilai hampir AS$1.1 bilion yang dikaitkan dengan skandal, dalam kenyataannya berkata ia juga mahu mendapatkan hartanah di Paris, kata Reuters hari ini.

Pada November tahun lepas dilaporkan karya oleh beberapa artis termasuk Monet, Warhol, Vincent Van Gogh, dan Pablo Picasso antara aset yang akan diserah kepada DoJ sekiranya mahkamah meluluskan persetujuan penyelesaian oleh ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho.

Menurut laporan artnet, karya itu diserahkan kepada pihak berkuasa pada 2017.

Perkembangan itu menyusuli laporan mengatakan DoJ sudah mencapai suatu penyelesaian dengan Low untuk mendapatkan kembali hampir AS$1 bilion daripada 1MDB.

Penyelesaian itu akan membantu menyelesaikan kes pelucutan hak yang dikaitkan dengan Low, yang menurut pendakwa raya mengatur pencurian lebih AS$4 bilion daripada 1MDB yang akhirnya digunakan untuk membayar sebuah pesawat jet peribadi, kapal persiaran mewah, rumah agam, permata, dan penerbitan wayang Hollywood.

Penyelesaian DoJ itu juga akan membolehkan ia mendapatkan kembali hasil daripada hartanah di Los Angeles, New York, dan London, dan penjualan sebuah pesawat jet Bombardier.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk pengakuan bersalah atau salah laku. Low secara konsisten mempertahankan yang dia tidak bersalah.