Exco Pemuda PPBM sahkan surat mohon jawatan dalam GLC, anggap tidak salah

Surat tular permohonan exco Pemuda PPBM Muzammil Ismail kepada menteri besar Kedah meminta dilantik sebagai anggota lembaga pengarah agensi atau GLC milik kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Exco Pemuda PPBM Muzzammil Ismail mengesahkan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memohon dipertimbangkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Muzzammil berkata, surat berkenaan merupakan surat biasa dan tidak ada yang pelik tentangnya.

Bahkan katanya, tidak ada satu perkataan pun yang bercanggah dengan undang-undang, integriti atau berkait rasuah.

Namun kata beliau, surat itu menjadi pertikaian disebabkan beliau merupakan individu yang terlibat dalam politik.

“Saya ambil maklum berkenaan penularan satu surat yang saya utuskan kepada menteri besar Kedah. Surat tersebut merupakan permohonan pertimbangan sebagai ahli lembaga pengarah di agensi atau anak syarikat GLC.

“Surat itu tiada satu patah perkataan yang bercanggah dengan undang-undang atau integriti mahupun rasuah. Saya sertakan resume berdasarkan kelayakan profesional dan pengalaman untuk dipertimbangkan,” katanya kepada FMT.

Muzzamil Ismail.

Terdahulu, tular di media sosial surat yang dikirim oleh Muzzammil kepada Sanusi dan diterima oleh setiausaha politik beliau, Afnan Hamimi Taib Azamudden pada 1 Jun lalu.

Muzzammil dalam surat itu berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah mana-mana agensi atau syarikat anak negeri di Kedah seperti Bina Darul Aman (BDB), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Dalam catatan tulisan tangan dalam surat itu, beliau menyebut: “berdasarkan kepada perbincangan YABMB (Yang Amat Berhormat Menteri Besar), YABMB bersedia untuk mempertimbangkan permohonan ini”

Menurut Muzzammil, fokus utama beliau menulis surat kepada menteri besar Kedah itu ialah untuk membantu kerajaan negeri dan rakyat melalui khidmat politik dan pengalaman profesionalnya.

Beliau berkata, perbuatan mendedahkan surat itu berniat jahat dan bertujuan menimbulkan fitnah serta prejudis terhadap dirinya, terutama menjelang pemilihan parti itu.

“Surat itu hanyalah surat biasa seperti surat semua pihak yang hantar kepada majikan,” katanya.