Hebat… 196 soalan dijawab dalam seminit dapat pengiktirafan Guinness World Record

Gill menjawab 196 soalan dalam masa seminit dengan catatan sesaat bagi menyelesaikan lebih 3 soalan. (Gambar Twitter)

Kepintaran seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Derbyshire, United Kingdom, menyelesaikan masalah pendaraban dan pembahagian matematik dalam hanya seminit melayakkan dirinya memegang rekod dunia.

United Press International melaporkan, Nadub Gill, 10, pelajar Sekolah Rendah Longmoor, Long Eaton daerah ‎Erewash di London, menghabiskan masa ketika perintah berkurung dengan membuat latihan di aplikasi Times Table Rock Stars.

Dia menggunakan platform pendidikan itu sehingga layak menerima pengiktirafan Guinness World Record.

Gill dilaporkan menjawab 196 soalan dalam masa seminit dengan catatan sesaat bagi menyelesaikan lebih 3 soalan.

Dia berentap dengan 700 lagi pelajar yang menyertai rekod baru dikendali badan pencatat rekod dunia itu dengan kerjasama aplikasi terbabit.

Kanak-kanak itu menerima sijil pengiktirafan pencapaian skor tertinggi Times Tables Rock Stars dalam hanya seminit.

Katanya, guru sekolahnya antara pihak yang memainkan peranan di sebalik kejayaan itu.

“Terima kasih kepada pihak sekolah dan guru yang menggalakkan saya membuat rekod ini.

“Saya teruja dan macam mimpi dapat meraih pencapaian ini,” katanya seperti dipetik Nottingham Post.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]