KKM tempat 140 petugas kesihatan dalam PRK Chini Sabtu ini

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengundi bergejala yang datang ke pusat mengundi pada Sabtu ini tetap akan dibenarkan mengundi, tetapi dengan pengawasan ketat daripada KKM. (Gambar Bernama)

PEKAN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan hampir 140 petugas sewaktu hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia termasuk 6 orang petugas kesihatan di semua 13 pusat mengundi, yang terdiri daripada 4 doktor dan 2 pembantu persekitaran awam.

“Petugas kesihatan akan memantau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“KKM bersedia. Semua orang sudah diberi taklimat dan semua perkara telah disiapkan. Kita akan sediakan petugas yang berpengalaman dan terlatih,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Prihatin Bersama Rakyat Chini dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, 3 ambulans akan turut ditempatkan di dalam kawasan DUN Chini Sabtu ini, sebagai persediaan jika berlaku kecemasan berkaitan dengan PRK berkenaan.

Noor Azmi berkata, pengundi bergejala yang datang ke pusat mengundi pada Sabtu ini tetap akan dibenarkan mengundi, tetapi dengan pengawasan ketat daripada KKM.

Katanya, setiap pengundi perlu menjalani pemeriksaan suhu, sanitasi tangan dan diberi sarung tangan sebelum mengundi.

“Andai kata sesiapa yang didapati bergejala, mereka akan ditempatkan di khemah khas. Pasukan kesihatan yang ada akan buat pemeriksaan rapi dan jika ada keperluan untuk dirujuk ke hospital, mereka akan dirujuk secepat mungkin,” katanya.

Seramai 20,816 orang daripada 20,972 orang pengundi biasa layak mengundi Sabtu ini, manakala 156 orang lagi mengundi secara pos.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.