KKM ulas artikel ‘susu ibu atau botol’ di FMT

Pihak kami ingin menarik perhatian pihak tuan kepada penyiaran artikel yang bertajuk “Breast or bottle for baby? 5 questions to ask yourself”, di laman sesawang FMT bertarikh 4 Jun 2020.

Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tajuk dan keseluruhan artikel boleh memberi salah tanggapan kepada masyarakat tentang penyusuan susu ibu malah ia boleh mengelirukan masyarakat dan memberi persepsi amalan penyusuan susu ibu kurang baik.

Secara tidak langsung, perkara ini juga dilihat mampu memberi impak negatif kepada segala strategi dan usaha KKM serta badan bukan kerajaan yang terlibat untuk melindungi, menggalak, dan mempromosi penyusuan susu ibu di Malaysia.

Untuk makluman pihak tuan, KKM melalui Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia mengalakkan “semua ibu menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga berumur 6 bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur 2 tahun. Makanan pelengkap perlu diberikan mulai umur 6 bulan”.

Pelbagai strategi diatur dan dilaksanakan bagi memastikan ibu boleh menyusukan bayi dengan jayanya.

Pada masa yang sama KKM juga menggariskan larangan untuk mempromosikan produk susu formula bayi dan peralatan penyusuan dalam Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.

Merujuk kepada artikel tersebut, terdapat penggunaan perkataan “formula” dan botol yang mana ianya boleh menjadi salah satu bentuk promosi secara tidak langsung kepada penggunaan produk susu formula bayi dan peralatan penyusuan dalam kalangan ibu.

Selain itu, untuk makluman pihak tuan juga, pihak KKM turut membantu para ibu yang tidak boleh menyusu dengan susu ibu atas faktor perubatan contohnya ibu HIV positif, atau sekiranya ibu memilih untuk tidak menyusu dengan susu ibu.

Namun pendidikan penyusuan bayi kepada ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu ibu diberi secara individu dan tidak dilakukan secara terbuka.

Dalam perbincangan bersama ibu, kaunselor laktasi akan membincangkan 5 aspek penting berkaitan susu ibu gantian di mana ianya mestilah A.F.A.S.S iaitu (acceptable) boleh diterima, (feasible) boleh dilakukan, (affordable) mampu diperolehi, (sustainable) mampu diteruskan, dan (safe) selamat berdasarkan situasi mereka.

Dr Chong Chee Kheong adalah timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) di Kementerian Kesihatan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.