Kumpulan ibu bapa mahu tahu SOP sekiranya jangkitan dikesan di sekolah

PETALING JAYA: Kumpulan ibu bapa bimbang mengenani kekurangan maklumat langkah yang perlu diambil jika kes Covid-19 dilaporkan selepas sekolah dibuka semula pada 15 Julai.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata SOP sekiranya jangkitan berlaku perlu dimaklumkan untuk kebaikan bersama khususnya ibu bapa.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin pada sidang media semalam berkata sekolah akan dibuka pada 15 Julai. Murid Tahun 1 hingga 4 akan memulakan kelas pada 22 Julai.

Sesi pembelajaran dalam kelas sudah bermula bagi pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM.

Jurucakap PAGE, Tunku Munawirah Putra berkata Radzi patut menjelaskan langkah yang akan diambil, seperti pengesanan kontak dan sama ada sekolah berkenaan akan tetap dibuka pada hari berikutnya.

Beliau berkata kenyataan tidak memadai dengan hanya menyatakan keputusan untuk membuka semula sekolah dibuat selepas berunding dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau tertanya adakah kementerian hanya akan menyediakan pelan tindakan dan bertindak selepas kes positif dilaporkan.

Mengenai 3 model pengoperasian pembukaan sekolah, Pengerusi Noor Azimah Abdul Rahim, berkata Model 1 Sesi sesuai bagi sekolah terpencil, luar bandar, dan pinggir bandar.

Model 2 sesi pula lebih sesuai bagi sekolah bandar di kawasan berpenduduk padat, manakala moden penggiliran pula penyelesaian terbaik bagi semua sekolah 2 sesi.

Sementara itu, Jurucakap Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan, menggesa pengetua dan guru besar mengambil kira pandangan ibu bapa dan guru sebelum memilih model.

Ditanya adakah model 2 sesi dan penggiliran akan menyebabkan guru letih dan terbeban, beliau memaklumkan kementerian memberi jaminan masalah itu akan ditangani selepas garis panduan lengkap dikeluarkan.

Tan mengalukan kaedah pengajaran hibrid membabitkan pembelajaran dalam talian dan bersemuka pada hari berbeza dan itu kaedah terbaik ketika ini.

Katanya, kajian bersama oleh NUTP dan pakar Universiti Malaya mendapati 93% daripada 10,500 guru mahu sesi bersemuka dengan pelajar.

Berdasarkan pandangan 100 pakar pelbagai bidang, kajian itu memutuskan kaedah pengajaran campuran dengan pembelajaran dalam talian dan bersemuka amat sesuai untuk normal baru.