Nancy janji permudah pembukaan semula sektor hiburan

Sektor hiburan terjejas terus oleh pelaksanaan PKP bermula Mac lepas.

PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Nancy Shukri berjanji akan mempermudahkan pembukaan semula pub, kelab malam dan tempat hiburan lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Nancy memaklumkan, beliau akan menyerahkan SOP diusulkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kepada Majlis Keselamatan Negara.

Beliau juga berterima kasih kerana badan itu berusaha menyediakannya dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berwajib.

Katanya, kerajaan juga mahu menghidupkan semula kegiatan ekonomi industri berkenaan dan tidak memandang remeh cabaran yang dihadapi mereka.

Nancy Shukri

“Pandemik koronavirus belum berakhir dan pembukaan semula perniagaan perlu dilakukan dengan berhati-hati,” katanya.

Katanya, kerajaan bersimpati dengan dilema dihadapi pemain industri berkenaan yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berhubung perkara itu, semalam.

Dalam pertemuan itu, Freddie bercakap mengenai realiti dihadapi dan langkah penyelesaian untuk membantu industri hiburan melibatkan pub, kelab malam dan hotel selain penganjur serta penyedia acara dan pertunjukan.

Beliau turut mengemukakan garis panduan operasi semula secara bertahap dan terkawal.

“Walaupun untuk kembali normal seperti sedia kala masih jauh, kami akan memastikan semua orang mematuhi peraturan yang ketat,” katanya.

Dalam surat kepada Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob bertarikh 18 Mei, Karyawan memohon kerajaan mengizinkan pembukaan semula beberapa tempat hiburan.

Dua minggu selepas itu, aktiviti busking (persembahan jalanan) di tempat tertutup dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Ogos ini.

Banyak penghibur dan pemain industri terjejas berikutan sekatan pergerakan selama lebih 3 bulan akibat wabak Covid-19.

Freddie Fernandez

Freddie berkata, puluhan ribu orang terjejas pendapatan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu yang memaksa penutupan premis hiburan dan pembatalan acara.

Katanya, ramai daripada 7,000 anggota Karyawan dan organisasi lain terpaksa menjual kenderaan, alat muzik serta barangan lain untuk kelangsungan hidup.

“Dana Karyawan semakin ‘kering’ dan kami berharap menerima lebih banyak bantuan kewangan untuk disumbangkan kepada mereka yang berdepan masalah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 3,000 pub, kelab malam dan premis hiburan di Lembah Klang dengan 5,000 lagi di seluruh negara.

Katanya, Karyawan mempunyai pelbagai rancangan untuk menghidupkan semula industri hiburan dan memastikan pendapatan tetap, terutama bagi pemuzik dan deejay yang bergantung kepada pertunjukan untuk bertahan.