Penerima BSH boleh tuntut bantuan khairat RM1,000

KOTA KINABALU: Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berhak mendapat bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Abdul Rahim Bakri.

Tuntutan itu boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rahim berkata penerima BSH juga secara automatik mendapat MySalam, iaitu skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

”Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penerima BSH di luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.

Rahim berkata masih ramai penduduk layak di kawasan berkenaan belum menerima bantuan BSH terutama bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank.

Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baru bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, katanya.