PH bantah usaha tukar speaker Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan membantah usaha untuk menukar Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming seperti diusulkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Amanah, Dr Hatta Ramli; dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook, mereka berkata Ariff dan Nga sudah melakukan tugas dengan adil dan saksama.

“Yang di-Pertua sudah bersara daripada politik kepartian selepas memegang jawatan ini pasca PRU-14, memainkan peranan amat mustahak dalam merakyatkan Parlimen selain memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi,” kata kenyataan hari ini.

Ariff dan Nga sudah membuktikan usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU-14 membuahkan hasil dan wajib diteruskan, maka tidak wujud sebarang keperluan untuk menukar mereka ketika ini.

“Majlis setiausaha PH dengan ini menyatakan sokongan penuh ahli Parlimen PH kepada speaker dan timbalan speaker,” katanya.