Polis kesan 620 rakyat Malaysia gagal jalani saringan ke-2 Covid-19
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob meminta 620 orang yang dikenakan kuarantin rumah dan masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua Covid-19 pada hari ke-13 supaya berbuat demikian.
KUALA LUMPUR: Polis mempunyai senarai lengkap nama rakyat Malaysia yang dikuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara yang masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua hingga kini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan mula mengesan mereka dalam masa terdekat selain menasihati mereka supaya tampil segera memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian saringan kali kedua.
“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas kedegilan dan kegagalan mereka untuk hadir membuat ujian saringan kali kedua,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) pindaan (2020).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Hari ini Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengenai perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) meminta 620 orang yang dikenakan kuarantin rumah dan masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin, untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan.