Polis: Pematuhan SOP Covid-19 di Kelantan menurun

Kelantan merekodkan 514 kes membabitkan 950 tangkapan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 1 Julai. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri itu menurun kepada 90% berbanding 95% sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata, kawasan luar bandar dikesan menjadi antara punca peratusan menurun berikutan ramai yang tidak mematuhi SOP, terutama berkaitan penjarakan sosial.

“Contohnya kalau kita ke pasar raya, SOP masih lagi diikuti, namun kalau kita pergi jauh sedikit seperti kawasan kampong, terutama di warung, kita boleh tengok ramai yang tidak ikut (penjarakan sosial).

“Saya percaya mereka sedar mengenai SOP ditetapkan, tetapi tiada sikap ambil peduli. Mereka perlu ingat pasukan keselamatan masih lagi menjalankan Op Covid-19 dan mana-mana pihak yang ingkar boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Menurut beliau, semalam sahaja, polis menahan 7 orang kerana melanggar SOP Covid-19.

Kelantan merekodkan 514 kes membabitkan 950 tangkapan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 1 Julai.