Sekolah agama, madrasah tahfiz berdaftar dibenar operasi semula 15 Julai, kata Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

“Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan oleh KPM supaya kita akan dapat menamatkan rangkaian Covid-19.

“(Pembukaan ini juga) termasuk madrasah yang jika berdaftar bawah KPM boleh terus dapat beroperasi, tetapi jika tidak berdaftar mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan pelajar kelas peralihan serta murid Tahun 5 dan 6 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Mohd Radzi berkata, pembukaan semula sekolah bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baru bagi meningkatkan kompentensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes yang tertunggak,” katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa selama lebih 2 jam bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.