Umno, PAS setuju Muhyiddin calon perdana menteri PRU15

Semalam pemimpin Barisan Nasional, PAS dan parti dari Sarawak dan Sabah mengisytiharkan sokongan kepada gabungan PN yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Umno dan PAS bersetuju untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Seorang pemimpin tertinggi Umno mengesahkan perkara itu dan berkata, ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) baru-baru ini.

Sebelum itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, PAS menzahirkan kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi mensejahterakan negara dan rakyat,” katanya di Facebooknya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno dan setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa berkata, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk menamakan atau menyokong, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya.

“Ini akan dibawa dalam saluran parti masing-masing.

“Di peringkat jawatankuasa bersama MN yang saya setiausaha agungnya memang betul apa disebutkan oleh presiden PAS itu adalah ia telah dibincangkan bersama.

“Pendirian PAS dan Umno dalam soal ini adalah pendirian sama. Saya sahkan,” katanya pada sidang media penyerahan surat tawaran permit sementara perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) kepada penjaja di Setapak Indah di sini, hari ini.

Semalam, pemimpin Barisan Nasional, PAS serta parti dari Sarawak dan Sabah mengisytiharkan sokongan kepada gabungan PN yang diketuai Muhyiddin “demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara”.

Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya yang dihadiri presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Abdul Hadi; presiden MCA, Wee Ka Siong; presiden MIC, S Vigneswaran dan setiausaha agung PPBM, Hamzah Zainudin.

Turut hadir presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abang Johari Openg; presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian; presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing; presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Jemut Masing; presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili; presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Joseph Kurup dan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, dalam mesyuarat MN sebelum ini Umno dan PAS bersetuju untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

PN merupakan gabungan politik yang muncul berikutan tumbangnya kerajaan PH pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad Mac lepas, sekali gus menyaksikan pelantikan presiden PPBM itu sebagai ketua kerajaan yang baru.

Pada 17 Mei, PPBM, Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.