9 pesakit sembuh atasi 5 kes baru Covid-19

PUTRAJAYA: Lima kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 9 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 121 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan, 2 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,648 kes Covid-19 dengan 8,446 daripadanya sudah sembuh.

Ketika ini, 81 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata daripada 5 kes baru yang dilaporkan, 3 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan semua warga Malaysia.

“Kedua-dua kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warganegara Malaysia, iaitu 2 kes saringan pra rujukan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Tiada kes dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, bagi memastikan kes Covid-19 dalam komuniti terus dipantau, dikesan awal dan dibendung, kerajaan mengambil pendekatan pengesanan kes melalui aktiviti survelan.

Beliau berkata, memandangkan usaha memerangi wabak Covid-19 masih panjang, tindakan kerajaan dalam memerangi adalah tertumpu kepada langkah memaksimumkan pencegahan dan kawalan penularan jangkitan.

“Misalnya melalui pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kemudiannya dilanjutkan serta diubah suai mengikut tren kes harian Covid-19 dan situasi dalam negara.

“Pengesanan awal kes Covid-19 secara aktif (Active Case Detection) dijalankan dan respons awal terhadap kluster Covid-19 dan setiap kluster dipantau dengan teliti,” katanya.

Noor Hisham berkata, maklumat kluster aktif dikemas kini dan diumumkan setiap hari bagi memastikan orang ramai terus mengetahui situasi sebenar wabak berkenaan.

“Saringan kumpulan sasar juga dibuat, terutamanya 9 kumpulan yang berisiko tinggi yang dikenal pasti dalam negara.

“Ini merupakan pendekatan tertumpu yang setakat ini membantu mengesan banyak kes dalam komuniti,” katanya.