AS bidas China gugat kestabilan di Laut China Selatan

Kapal perang dan pesawat tempur China semasa latihan ketenteraan di Laut China Selatan. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat khuatir tindakan China menjalankan latihan ketenteraan di Laut China Selatan akan menggugat kestabilan di perairan yang menjadi pertikaian itu.

“Melakukan latihan ketenteraan di wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan bertentangan dengan usaha untuk meredakan ketegangan dan menjaga kestabilan,” kata jabatan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Minggu lalu, China mengumumkan mereka akan menjalankan latihan selama 5 hari bermula 1 Julai berhampiran Kepulauan Paracel yang menjadi pertikaian antara Vietnam dan negara Tembok Besar itu.

“Latihan ketenteraan itu yang terbaru dalam rangkaian tindakan China untuk menegaskan tuntutannya dan melemahkan negara jirannya di Asia Tenggara di Laut China Selatan,” kata kenyataan itu.

AS menuduh China menjalankan menenterakan Laut China Selatan dan cuba menakut-nakutkan negara jiran yang mungkin ingin mengeksploitasi simpanan minyak dan gas.

China menuntut 90% daripada Laut China Selatan yang kaya tenaga itu, namun Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan, dan Vietnam turut menuntut sebahagian daripadanya.