Beri laluan kepada orang muda, timbalan presiden Umno seru orang lama

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata belia ada peranan yang penting dan generasi lama mesti sedia memberi laluan.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mahu belia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, politik, dan ekonomi, mengatakan sekarang masanya negara meninggalkan “cara lama”.

“Dunia berubah dan status quo tidak memadai. Untuk negara meningkat maju, kita perlu dakap idea baru dan cara baru dalam pendekatan kita seperti politik dan ekonomi,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu kepada FMT baru-baru ini.

Beliau berkata belia ada peranan yang penting dan generasi lama mesti sedia memberi laluan.

“Orang lama mesti terima dan bantu anak muda capai idea-idea baru itu.”

Mohamad berkata Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan apa yang sudah tercapai.

Katanya, fasa ekonomi seterusnya haruslah berdasarkan pengalaman pemain sejagat yang menawan dunia dengan idea yang berinovasi.

Beliau mengambil contoh syarikat seperti Gojek, Airbnb, Grab, dan OYO.

“Orang di sebalik syarikat-syarikat yang mengubah keadaan ini semua anak muda yang memanfaatkan teknologi dan inovasi. Kita perlukan orang-orang seperti itu dalam kerajaan.”

Mohamad berkata generasi muda masih ada harapan, mengambil contoh kumpulan belia seperti Parlimen Digital, Challenger, dan Undi 18.

“Perbincangan seperti itu boleh menjana idea daripada golongan muda, dan kita amat perlukannya sekarang ini dalam usaha kita untuk pulih daripada kesan Covid-19.”

Beliau menggesa lebih banyak dana diperuntukkan kepada agensi kerajaan yang ditugaskan untuk membangunkan inisiatif digital bagi membantu inisiatif belia.

“Kita perlu ada ekosistem untuk syarikat pemula dan gerakan sosial yang membolehkan dan mendayakan belia menterjemah idea kepada tindakan dan program yang boleh membantu meningkatkan tahap kita.

“Sekarang masanya orang ramai tidak lagi melihat orang muda sebagai pengganti generasi lama, kita harus tengok mereka sebagai individu yang berinovasi dan keusahawanan yang akan mencipta kemewahan.”

Mohamad menyeru program latihan kemahiran baru dan tingkat kemahiran peringkat nasional untuk belia yang menganggur.

“Ramai yang terlibat atau terlatih untuk kerja-kerja tradisional yang menghilang.”

Beliau berkata program seperti itu harus digandingkan dengan pelaburan ke atas platform yang menghubungkan belia dengan peluang baru di Malaysia dan luar negara.

“Kita mahu belia kita boleh bangkit dalam ekonomi berkemahiran tinggi yang penuh dengan persaingan. Ini akan lebih bermanfaat bagi mereka dan negara.”