BNM: Moratorium pinjaman mungkin tidak dilanjut

Bank Negara membayangkan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium ke atas pinjaman yang dijadual tamat 30 September ini bagi menghindari kesan tidak diingini ke atas sistem kewangan negara.

PETALING JAYA: Bank Negara (BNM) membayangkan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman yang akan tamat pada 30 September ini.

Ketika menjadi moderator sesi webinar bertajuk “R&R: Rancang dan bertindak awal” anjuran bank pusat itu hari ini, Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, sehingga 19 Jun lalu, moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium daripada institusi kewangan.

“Dengan tamatnya perintah kawalan pergerakan dan pembukaan semula ekonomi yang semakin meluas, memang kita menjangkakan pemulihan ekonomi akan berterusan,” katanya, dan menambah banyak komen dan pandangan daripada menteri dan penganalisis mengatakan ekonomi akan pulih.

“Dengan itulah kita harus tamatkan moratorium yang diberikan secara umum, dan tidak ada dalam perancangan kita untuk melanjutkan moratorium seperti itu. Kita tahu yang nanti kalau kita lanjutkan dia akan ada kesan terhadap ekonomi, dan kita harus imbangkan dengan kesan yang kita ingin elakkan,” katanya.

Beliau berkata sektor perbankan sektor paling utama untuk membiayai kegiatan ekonomi, dan perlu terus kukuh dan berupaya untuk terus membiayai pelbagai kegiatan ekonomi dan keperluan rakyat semasa.

“Jadi dengan itulah kita di persimpangan seperti ini, kita tahu memang masih ada sebahagian daripada peminjam atau sebahagian daripada PKS yang masih menghadapi cabaran dan walaupun kita masih ada 3 bulan untuk tempoh moratorium, kita sarankan agak pihak individu atau perusahaan kecil dan sederhana berbincang semula dengan pihak bank.

“Kalau mereka perlukan lagi bantuan ‘beyond’ September ini, mereka perlu ‘approach’ bank untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat atau pun untuk mendapatkan bantuan ‘restructuring or rescheduling’.”

Perbincangan selama 1 jam yang dipancarkan secara strim turut dihadiri ketua pegawai eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir; wakil Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Mohd Zaini Aris dan presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), Azlin Ahmad Shaharbi.

Sementara itu, Azaddin berkata, moratorium ternyata memberi kelegaan kepada peminjam, tetapi kelegaan sebenar ialah apabila peminjam mampu melangsaikan hutang mengikut jadual sebenar.

Katanya, peminjam yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman selepas tamat tempoh moratorium dinasihatkan berjumpa bank masing-masing untuk membincangkan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman (R&R).

“Jangan biarkan hutang tertangguh dan ini akan memberi tekanan kewangan sekali gus memberi kesan lebuh teruk kepada peminjam.

“Namun, jika peminjam ada pinjaman dengan banyak bank, mereka boleh datang ke AKPK untuk khidmat nasihat bagi menstruktur semula pinjaman mengikut kemampuan peminjam.

“Kami akan cuba berunding dengan bank untuk mendapatkan penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini mengingatkan peminjam yang bermasalah meneruskan bayaran balik pinjaman supaya tidak melantik pihak ketiga untuk menguruskan R&R mereka.

“Ini bagi mengelakkan peminjam terjebak dalam skim penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.