Calon speaker Dewan Rakyat sudah dikenal pasti, kata Fadillah

Tanpa menamakannya, Menteri Kanan (Infrastruktur) Fadillah Yusof hanya memberi bayangan calon tersebut bukan ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR: Calon untuk dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru sudah dikenal pasti, dedah Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Fadillah Yusof.

Tanpa menamakannya, Fadillah hanya memberi bayangan calon itu bukan seorang ahli Parlimen dan hanya tersenyum apabila ditanya sama ada calon itu juga dari Sarawak.

“Saya tidak mengatakan siapa bakal penggantinya, yang pasti bakal penggantinya orang berkelayakan, orang Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap kepada 39 kontraktor, hari ini.

Ahad lalu, Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Katanya, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker juga ditamatkan.

Fadillah yang juga menteri kanan infrastruktur dan menteri kerja raya berkata, GPS menyokong apa diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai asas kukuh dalam mengusulkan pertukaran kedua-dua pemegang jawatan berkenaan.

“Jadi, kita akan sokong usul itu, sudah kenal pasti siapa bakal pengganti dan kita akan melihat apa yang akan berlaku di Parlimen pada 13 Julai nanti,” katanya.

Bersedia hadapi PRN

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Fadillah berkata, pihaknya bersedia menghadapinya pada bila-bila masa, namun tarikhnya terserah kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg.

“Untuk kita di Sarawak kita bukan bekerja untuk pilihan raya, kita bekerja untuk rakyat dan kita bersedia pada bila-bila masa pilihan raya itu akan diadakan,” katanya.