Guru akui budak tabika merungut kena duduk 4 jam dalam kelas

Selepas ditutup selama 4 bulan berikutan wabak Covid-19, prasekolah dibuka semula pada 1 Julai berdasarkan SOP ketat yang ditetapkan.

PETALING JAYA: Jika orang dewasa pun susah untuk kekal di satu tempat bagi tempoh lama, apatah lagi kanak-kanak yang lumrahnya suka bermain dan aktif bergerak.

Duduk bagi tempoh 4 jam sememangnya memberi tekanan kepada emosi dan mental anak kecil, namun itulah yang perlu dilalui murid prasekolah sejak sesi persekolahan bermula 1 Julai lalu selepas ditutup hampir 4 bulan berikutan wabak Covid-19.

Mengakui normal baru itu mengubah 360 darjah sesi pembelajaran dalam kelas, Seha Aziz, 59, guru Tabika Kemas di kawasan pedalaman di Pekan, Pahang, berkata, ia memberi cabaran baru kepadanya sepanjang 38 tahun berkhidmat sebagai guru.

“Tidak pernah saya bayangkan, pada hujung karier saya berdepan pandemik ini. Mana tidaknya, kita perlu melawan musuh yang kita tidak nampak,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Katanya, jika dulu kanak-kanak bebas bermain dan bergerak di pekarangan sekolah, namun semuanya berubah apabila SOP kementerian yang menetapkan setiap pelajar perlu duduk di meja masing-masing sepanjang sesi pembelajaran.

Seha Aziz.

Beliau mengakui, SOP itu memberi tekanan emosi kepada murid dan mengganggu sesi pembelajaran, tetapi sebagai pendidik mereka perlu kreatif mencipta persekitaran sihat.

“Kita yang dewasa pun tidak tahan duduk lama, apatah lagi kanak-kanak yang perlu duduk dari 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari.

“Walaupun kita ada sediakan alat permainan di meja masing-masing dan banyakkan aktiviti kraf ia tidak mampu sepenuhnya menarik minat anak-anak ini untuk kekal fokus,” katanya yang akan bersara wajib tahun depan.

Seha berkata, sebelum sekolah ditutup pertengahan Mac lalu, beliau mendidik 15 murid dalam 1 kelas dan angka itu berubah mendadak selepas Covid-19 apabila hanya 7 murid saja yang mendaftar.

“Hari ini, seorang lagi tidak datang sebab mengadu bosan duduk di meja lama-lama dan tidak bebas bermain dengan rakan.

“Disebabkan tidak berapa setuju dan tidak yakin dengan SOP disediakan, hampir separuh ibu bapa juga lebih rela mengajar sendiri anak mereka di rumah,” katanya sambil membayangkan keadaan itu akan kekal hingga hujung tahun.

Antara SOP pembukaan semula prasekolah ialah murid perlu berada di meja masing-masing sepanjang masa pembelajaran.

Sementara itu, pengusaha tadika swasta di Ampang, Umi Selamah Zainal Abidin, menyifatkan pandemik Covid-19 memberi kesan mendalam kepada semua sektor, termasuk pendidikan.

“SOP yang digariskan oleh kementerian menyebabkan kos pengurusan tadika meningkat sekali ganda,” katanya.

Namun, ketika ibu bapa lain terkejut dengan peningkatan yuran sekolah tadika anak mereka, Umi berkata, tadikanya tidak sampai hati berbuat demikian, malah menurunkan yuran bulanan sehingga RM30.

“Bukan itu saja, yuran semester 2 pun saya tidak ambil semata-mata mahu semua ibu bapa dan murid kembali ke sekolah. Kita akui ada kanak-kanak yang emosinya terganggu kerana duduk terperap lama di rumah, sebab itu kita galakkan ibu bapa hantar anak mereka bermula 1 Julai lalu.”

Kerap membasuh tangan dan pengambilan suhu badan adalah antara normal baru yang perlu dilalui pelajar setiap hari di sekolah.

Menyentuh mengenai SOP aktiviti yang dilarang ketika sesi pembelajaran, Umi mengakui ada murid kurang selesa dan masih kekok untuk mengikut arahan.

Namun, pihaknya mengambil pendekatan mengolah silibus yang lebih interaktif, selain memasukkan elemen seni dan kraf untuk menarik minat murid.

“Bagi menyokong usaha kerajaan memperkenalkan sesi pembelajaran dalam talian, pihak tadika mengadakan 4 hari kelas fizikal dan 1 hari kelas dalam talian setiap minggu supaya murid bersedia ke arah e-pembelajaran,” katanya.

Kini negara memasuki fasa pemulihan selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berjaya membendung penularan Covid-19 susulan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu dilihat berhasil.