Hanya pekerja asing kategori EP1 dibenar masuk, kata KKM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berkata, Jabatan Imigresen memang membenarkan pekerja asing yang mempunyai visa jangka panjang untuk masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, golongan itu yang berjawatan tinggi atau mempunyai perniagaan dalam negara boleh dipertimbangkan, tetapi mereka mesti menggunakan visa EP1.

“Syarat (lain) kena ujian ‘swab’ dan dikuarantin 14 hari di rumah masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai Sabah yang dilapor membenarkan semua perjalanan masuk ke negeri itu kepada pekerja asing dari China yang mempunyai permit kerja sama ada melalui udara, darat dan laut.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Sabah membenarkan pekerja asing, termasuk dari China, kembali bekerja di negeri itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Khas Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kerajaan juga sedang mengkaji sama ada akan membenarkan pelajar luar masuk ke Malaysia.

Katanya, syarat sama akan dikenakan, iaitu mesti menjalani saringan “swab” dan dikuarantin.

“Kita juga pertimbang untuk benarkan pesakit dari luar negara datang Malaysia dengan syarat jalani ujian dan disahkan negative Covid-19. Hospital juga sudah dikenal pasti untuk setuju terima.

“Kita longgarkan sikit kemasukan ke negara ini, tetapi kena ikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, KKM tidak akan melakukan ujian swab ke atas semua individu yang datang ke Parlimen pada 13 Julai apabila sidang Dewan Rakyat bermula.

Beliau berkata, hanya yang bergejala sahaja dikehendaki menjalani ujian “swab”.

“Tetapi saringan pemerikasaan suhu badan dan pemakaian topeng serta mencuci tangan akan dipastikan dipatuhi semua,” katanya.