Harga lambung tinggi, kerajaan gesa syarikat penerbangan selaras harga tiket

PUTRAJAYA: Kerajaan menggesa syarikat penerbangan menyelaraskan harga tiket ke paras normal seperti mana sebelum perlaksanakama perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, gesaan ini susulan aduan harga tiket melambung tinggi.

Katanya, syarikat penerbangan tiada alasan menaikan harga tiket kerana kerajaan membenarkan jumlah penumpang berkapasiti penuh bagi setiap penerbangan.

“Harga tiket penerbangan perlu kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP…kita minta suruhanjaya penerbangan bincang dengan syarikat penerbangan untuk melihat balik harga tiket.

“Syarikat penerbangan juga diminta untuk menyelaraskan harga tiket ke paras normal khususnya untuk pelajar serta guru sekolah dan institut pengajian tinggi yang akan menyambung semula sesi pengajian,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kementerian Pengangkutan juga diarah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian.