Jordan lanjut perintah larangan merokok di lokasi awam tertutup

AMMAN: Jordan, antara negara mencatatkan kadar merokok paling tinggi di dunia, melanjutkan perintah larangan merokok di semua lokasi awam tertutup dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat, memandangkan pandemik Covid-19 dan akibatnya, penggunaan tembakau dalam semua bentuk (rokok, rokok elektronik dan shisha) dilarang di tempat awam tertutup,” kata kementerian kesihatannya dalam kenyataan pada Rabu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Jordan yang mempunyai 10 juta penduduk antara negara mencatatkan kadar merokok tertinggi di dunia.

Bulan lalu, The Guardian melaporkan negara itu melepasi Indonesia dengan kadar merokok tertinggi di dunia, dengan 8 daripada 10 orang merokok atau menggunakan nikotin.

Memetik kenyataan WHO, kementerian kesihatan negara itu memaklumkan perokok dan perokok pasif lebih berisiko dijangkiti Covid-19.

Jordan merekodkan 1,133 kes Covid-19 dengan 9 kematian sehingga kini.

Negara itu mengenakan larangan merokok di lokasi awam pada 2008, namun peraturan terbaru ini turut membabitkan penggunaan rokok elektronik dan shisha.

Namun, ia hanya membabitkan lokasi awam tertutup sepenuhnya.

“Keputusan itu tidak mengganggu saya kerana saya tidak merokok arghileh (shisha) di tempat tertutup. Larangan merokok di tempat awam sudah lama tetapi ia tidak dikuatkuasakan,” kata pengguna shisha, Khaled al-Shamhuri.

Pekerja kedai kopi, Hassan al-Shadfan, memaklumkan peraturan baru itu akan memberi kesan negatif.

“Kafe ini tempat tertutup dan kebanyakan pelanggan tidak hanya datang untuk makan atau minum teh dan kopi, kebanyakannya merokok atau menghisap arghileh,” katanya.

Berbeza pula dengan pemilik kafeteria, Ahmad Rubbaa, yang kurang mengambil berat mengenai perkara itu.

“Perokok akan merokok di mana saja mereka berada, tidak ada undang-undang yang dapat menghentikan mereka.

“Saya tidak fikir ia akan mempengaruhi penjualan tembakau,” katanya.