Kami tak disoal, kata exco P Pinang selepas dilawat SPRM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy bercakap kepada pemberita selepas pegawai SPRM tinggalkan pejabatnya.

GEORGE TOWN: Dua exco Pulau Pinang hari ini berkata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertanyakan apa-apa pada mereka dan hanya bercakap dengan kakitangan mereka.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata pegawai berkenaan mengambil jadual kerjanya dan menyoal 2 penolongnya. Sebelum itu mereka bercakap dengan 3 pengawal keselamatan di ruang legar, katanya.

“Tiada fail diambil. Bukan seperti kali pertama bila saya disoal (2018). Mereka tak tanya apa-apa. Pegawai hanya ambil gambar saya dan pergi,” katanya.

Zairil Khir Johari, yang pejabatnya terletak bersebelahan pejabat Ramasamy, juga berkata beliau tidak disoal.

“Mereka bercakap dengan pembantu saya dan pergi. Saya tak berada di situ kerana saya sedang penerusikan mesyuarat Jabatan Pengairan Dan Saliran,” katanya kepada FMT.

Pegawai SPRM tidak bercakap dengan pemberita semasa mereka meninggalkan pejabat pada 1.15 petang, iaitu kira-kira 3 jam kemudian.

Ramasamy dan bekas pengerusi exco kerja raya, Lim Hock Seng, yang pejabatnya kini diduduki Zairil, disoal pada Februari 2018 berhubung projek terowong dasar laut dan jalan. Tiada tindakan diambil terhadap mereka ketika itu.

Sebelum ini dilaporkan seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang pada Selasa.

Rumahnya juga diserbu pegawai SPRM.

Sebelum ini SPRM menyerbu 3 syarikat, yang menurut sumber ketika siasatan rasuah ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang disambung semula susulan penemuan petunjuk baru.