Kertas siasatan terowong dasar laut siap dalam 3 minggu, kata Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, kertas siasatan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang berada di fasa akhir dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN: Kertas siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam fasa akhir, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Beliau berkata, kertas siasatan itu dijangka lengkap dalam tempoh 2 ke 3 minggu sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“SPRM kini dalam fasa akhir siapkan siasatan projek itu. Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin…dalam 2 atau 3 minggu lagi (siap),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum itu, Azam melakukan lawatan kerja pertamanya sebagai ketua pesuruhjaya ke pejabat SPRM negeri di sini.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk mengambil keterangan beberapa petugas di bangunan itu.

Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada jam 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy dan 2 exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin.

Rabu lepas, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam sebelum ini direman selama 4 hari bermula 1 Julai lepas bagi membantu siasatan kes.