Langkah ganti speaker imbau semula tolak-menolak pada 2018

Lim Kit Siang, Nurul Izzah Anwar dan Johari Abdul adalah antara individu yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan untuk jawatan speaker yang akhirnya dijawat oleh bekas hakim Mohamad Ariff Yusof (kanan).

KUALA LUMPUR: Individu penting yang terlibat dalam perbincangan untuk melantik speaker Dewan Rakyat berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 2018 mempersoalkan sokongan gabungan politik itu kepada Mohamad Ariff Yusof susulan usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan beliau dan timbalannya.

Individu terbabit yang enggan dikenali memberitahu FMT bahawa pemimpin PH lebih berminat untuk melantik rakan ahli Parlimen mereka sebagai speaker, tetapi berdepan “jalan mati teknikal” pada setiap langkah.

Menurut sumber, gabungan itu pada mulanya mencalonkan Nurul Izzah Anwar dan tokoh DAP Lim Kit Siang untuk tugas itu.

“Tetapi mereka tidak boleh dilantik kerana kedua-duanya mempunyai saudara dekat dalam Kabinet baru yang dibentuk.”

Ibu Nurul ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan timbalan perdana menteri PH, sementara anak Kit Siang, Lim Guan Eng adalah menteri kewangan.

Sumber berkata, pada titik inilah nama Johari disebut secara aktif untuk jawatan itu.

“Ini berlaku walaupun telah ada calon seperti Ariff, yang dilihat lebih berkelayakan, walaupun ia berlawanan dengan janji dalam manifesto pilihan raya PH.

Dalam manifesto itu, PH menyebut, speaker akan dipilih dalam kalangan ahli Parlimen berdasarkan hujah bahawa speaker dalam kalangan mereka sendiri akan menjamin wujudnya rasa tanggung jawab sesama mereka.

“Sebagai bekas hakim Mahkamah Rayuan, Ariff dilihat lebih bebas dan tidak berpihak, tetapi beliau tidak termasuk dalam senarai PH. Peliknya ketika itu wujud keghairahan untuk mematuhi manifesto itu dalam isu ini,” kata individu berkenaan, yang kerap terlibat dalam perbincangan mengenai pelantikan ke jawatan utama di bawah pentadbiran lepas.

Pencalonan Johari sebagai speaker mendapat sokongan kuat daripada Amanah dan DAP, walaupun Ariff juga merupakan penasihat undang-undang Amanah.

“Namun parti tersebut percaya Johari wajar disokong sebagai speaker,” kata sumber kepada FMT.

Bagaimanapun pencalonan beliau dibantah keras oleh pertubuhan sivil yang melihat Johari sebagai warisan politik lama Umno susulan penglibatannya dalam Biro Tatanegara (BTN) pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang didakwa menjalankan program “pembasuhan otak” untuk pegawai awam.

FMT mengesahkan dakwaan itu dengan beberapa pemain utama dalam perundingan lantikan speaker baru pada 2018 di bawah kerajaan PH yang berusia hanya beberapa minggu pada ketika itu.

“Bencana di Kedah”

Bagaimanapun nama Johari digugurkan daripada senarai calon speaker PH bukan disebabkan oleh bantahan terbabit.

Sebaliknya terdedah selepas itu bahawa pelantikannya ke jawatan berkenaan akan mencetuskan “bencana politik” di Kedah kerana Johari bukan sahaja merupakan ahli Parlimen Sungai Petani, tetapi juga Adun Gurun.

Pelantikan sebagai speaker akan menyaksikan beliau melepaskan kedudukannya sebagai Adun seperti ditetapkan oleh undang-undang.

“Keadaan itu bermakna kerajaaan PH di Kedah akan tumbang sekelip mata kerana kedudukan kerusinya yang sama banyak dengan gabungan kerusi BN dan PAS, iaitu 18.

“Oleh sebab PH menyertai pilihan raya umum sebagai satu gabungan, tidak seperti BN dan PAS, mereka berpeluang membentuk kerajaan,” kata sumber.

Pada pilihan raya umum Mei 2018, PAS menang 15 kerusi, sementara BN mendapat 3. Secara bersama-sama mereka menguasai 50% daripada 36 kerusi di DUN Kedah.

Dua parti Melayu itu tidak membentuk kerjasama politik formal sehinggalah setahun kemudian.

Pilihan Mahathir

Semalam PH menyuarakan bantahan terhadap usul untuk menggantikan Ariff dan timbalannya Nga Kor Ming daripada mengetuai Dewan Rakyat.

“Speaker membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula selepas pilihan raya umum telah membuahkan hasil dan mesti diteruskan,” katanya dalam kenyataan bersama PKR, DAP dan Amanah.

Pengkritik turut mempersoalkan langkah itu walaupun ia sah dari segi undang-undang dengan berkata, ia mungkin merupakan usaha untuk menghalang usul yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Ia juga mendahului sesi persidangan Dewan Rakyat yang dijangka lebih konvensional bulan ini, iaitu selepas persidangan istiadat 1 hari pada Mei yang mencetuskan kemarahan parti pembangkang kerana tempohnya yang terlalu pendek.

Sumber mempersoalkan sokongan PKR, DAP dan Amanah kepada Ariff sekarang berikutan bantahan terhadap pencalonan beliau sebelum ini dan kecenderungan mereka untuk melantik “sesama mereka” ke jawatan itu.

Difahamkan walaupun beliau dilihat neutral dari segi politik berdasarkan penghakimannya sebelum itu, pencalonan Ariff tidak dipersetujui oleh pemimpin PH yang mahukan seorang ahli Parlimen dilantik ke jawatan berkenaan.

“Kita semua tahu Dr Mahathir Mohamad bukanlah pendukung Buku Harapan,” kata sumber, merujuk kepada manifesto PH.

“Justeru Mahathir berkeras mahu Ariff dilantik, sekali gus berlawanan dengan pendirian PH. Walaupun bercanggah dengan manifesto, tetapi Ariff dilihat sebagai pilihan lebih baik berbanding calon pilihan PH.

“Akhirnya pilihan Mahathir menang. Ia terus menutup mulut pemimpin PH.”