Majikan tak minat program insentif Penjana

MEF mempersoalkan syarat yang dikenakan ke atas majikan yang menyertai program insentif kerajaan.

PETALING JAYA: Syarikat yang sedang bergelut untuk bertahan mungkin tidak dapat menyertai skim kerajaan yang mensubsidikan elaun graduan baru yang diambil untuk menjalani perantisan kerana dari mula lagi mereka akan dianggap sebagai pekerja sepenuh masa.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengingatkan syarikat menghadapi risiko pada masa ini, dan mungkin mereka tidak boleh lagi mengambil pelatih sebagai kakitangan sepenuh masa selepas perantisan tamat.

“Apabila tempoh perantisan tamat, pekerja itu mungkin kata dia diberhentikan secara salah dan mungkin akan melaporkan kes terhadap kita kerana mereka dianggap sebagai kakitangan sepenuh masa,” kata Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan kepada FMT. “Syarikat tidak mahu berdepan keadaan seperti itu.”

Dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bulan lepas, kerajaan akan membayar antara RM600 dan RM1,000 sebulan bagi setiap pekerja atau perantis yang diambil syarikat selama sehingga 6 bulan.

Langkah itu dilihat sebagai respon Putrajaya kepada ramalan pasaran kerja yang teruk berikutan pandemik Covid-19, yang menyaksikan perniagaan ditutup kerana perintah kawalan pergerakan.

Menurut angka rasmi, hampir 800,000 orang hilang pekerjaan setakat April.

Shamsuddin berkata majikan yang mengambil insentif Penjana itu masih perlu menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata kebiasaannya syarikat akan menawarkan pekerjaan kepada graduan baru jika mereka didapati layak apabila perantisan tamat.

“Sekiranya syarikat merasakan orang itu tidak layak, majikan patutnya boleh melepaskan mereka pergi dengan kemahiran yang dipelajari itu, kerana lebih mudah untuk mereka mencari kerja,” tambahnya.

Shamsuddin berkata syarat-syarat yang dikenakan ke atas majikan yang menyertai program insentif itu tidak adil dan menggesa kerajaan segera mengkaji semula skim yang bermula pada 1 Julai itu.

“Kalau mereka dianggap sebagai kakitangan penuh, maka syarikat mungkin tidak mahu sertai program itu untuk melatih pelatih kerana tak pasti apakah perniagaan mereka boleh bertahan,” katanya.

Beliau berkata syarikat masih boleh memainkan peranan dalam melatih graduan tanpa mengambil mereka bekerja.