Majlis perkahwinan ‘drive thru’ ikut norma baru dipuji netizen

Majlis perkahwinan ‘drive thru’ ikut norma baru yang ditetapkan oleh kerajaan.

Jika sebelum ini, terdapat beberapa cadangan supaya perkahwinan diadakan secara “drive thru”, kini ia menjadi kenyataan apabila baru-baru ini sepasang pengantin di Johor menggunakan kaedah ini.

Beberapa keping gambar yang boleh dianggap simbolik mengingatkan semua orang mengenai pandemik Covid-19 tular.

Ini kerana ia satu norma baru yang perlu dilakukan bagi mengelak jangkitan wabak itu jika mahu mengadakan majlis perkahwinan.

Semua pihak perlu berdisiplin mengikut segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan.

Dan ia terbukti apabila Zenuz Production dengan kerjasama Dinas Bridal berjaya meraikan sepasang Raja Sehari Sabtu lepas dalam satu majlis yang disifatkan sebagai Majlis Perkahwinan “Drive Thru”.

Situasi yang dikongsi melalui laman sosial Facebook Zenuz Production melihatkan pasangan pengantin menyambut ketibaan tetamu yang datang menaiki kereta dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda bersalaman sebelum menghulurkan makanan dan berswafoto.

Turut dimuat naik gambar tabung yang disediakan bagi memudahkan tetamu menghulurkan sumbangan.

Tabung atau bekas disediakan untuk tetamu memberi sumbangan kewangan yang juga dipanggil ‘salam keruk’.

Menurut Zenuz Production, idea untuk mengadakan majlis dengan konsep pandu lalu seperti mana diguna pakai di restoran makanan segera itu tercetus selepas melihat perkembangan situasi semasa.

Ini merupakan majlis perkahwinan pertama yang berkonsepkan drive thru di Malaysia juga masih mengekalkan SOP mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah pihak kami dan pengantin meminta kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kluang, kami start susun strategi ‘wedding drive-thru’ untuk pertama kalinya di Malaysia.

“Majlis yang bermula 12 tengah hari dan berakhir 3 petang berlangsung sangat meriah. Majlis dihadiri para tetamu dari setiap pelusuk negeri dari Rawang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan beberapa negeri lagi,” katanya menerusi posting di Facebook.

Zenuz Production turut menyampai ucapan tahniah kepada pasangan pengantin yang juga pemilik perniagaan burger viral AguzzBurger kerana berjaya melangsungkan perkahwinan dalam norma baru.

“Tahniah diucapkan terutama buat kedua mempelai Norazura Mohd Ali dan pasangan Aguzz Aguss ahli keluarga kedua mempelai, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Dinas Bridal, As Puri Catering, DJ, pasukan RELA dan individu-individu lain yang terlibat secara tidak langsung.”

Antara aturcara majlis dan SOP yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:

SOP kehadiran tetamu majlis:

  • Kenderaan beratur menuju ke kanopi pelamin.
  • Cek suhu oleh anggota RELA.
  • Catat nama beserta nombor telefon.
  • Masukkan sumbangan ke dalam tabung “Salam Keruk” yang disediakan.
  • Jumpa pengantin yang sedang menunggu di pelamin dan memberi salam, ucap tahniah serta penyerahan hadiah tanpa perlu keluar dari kenderaan dan bersentuhan.
  • Sebuah kenderaan hanya satu minit sahaja masa yang diberikan untuk sesi pandu lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]