Selepas majlis perkahwinan besar-besaran, pengantin lelaki meninggal, 80 tetamu positif Covid-19

Majlis perkahwinan besar-besaran di Paliganj, India akibatkan 80 tetamu dan hampir 300 penduduk positif Covid-19. (Gambar AP)

Seorang wanita di India terpaksa menerima hakikat hanya mampu menjadi isteri kurang daripada seminggu apabila suaminya disahkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Lebih menyedihkan apabila malang yang menimpa pasangan itu gara-gara melanggar perintah berkurung semata-mata hanya mahu melangsungkan majlis perkahwinan besar-besaran.

Menurut laporan USA Today, seorang pengantin lelaki berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia dan menjadi penyebar Covid-19 sehingga menjangkiti 80 tetamu yang hadir.

Kebanyakan tetamu terdiri daripada kakitangan sekolah, guru dan murid-murid kerana bapa pengantin lelaki merupakan seorang guru.

Majlis besar-besaran itu berlangsung pada 15 Jun lepas dengan kehadiran lebih 360 tetamu di Paliganj.

Keluarga pengantin lelaki tersebut dilaporkan tetap bertegas untuk meneruskan majlis meskipun dia mengalami demam panas sebelum itu kerana tidak mahu menanggung kerugian jika ia dibatalkan.

Pada hari perkahwinannya, suhu badan dia dilaporkan sangat tinggi dan ramai sanak saudara mula berasa risau serta turut berharap ia tiada kena mengena dengan Covid-19.

Keluarganya dikatakan memberi ubat jenis panadol kepada lelaki tersebut namun keadaannya menjadi semakin teruk selepas itu.

Menurut New York Post, lelaki itu dilaporkan meninggal dunia 2 hari kemudian ketika dalam perjalanan ke hospital namun mayatnya dibakar sebelum sempat pihak berkuasa menjalankan ujian Covid-19 ke atasnya.

Bagaimanapun, dia dipercayai menjadi penyebar utama virus itu di kawasan terbabit apabila hampir 300 individu disahkan positif hanya seminggu selepas majlis itu berlangsung.

Kampung itu kini ditutup dan dikawal ketat dan tiada siapa yang dibenarkan masuk atau keluar dari situ.

Namun apa yang mengejutkan pengantin perempuan dilaporkan negatif Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]