Tiga harga bagi ujian Covid-19 di pintu masuk negara

PETALING JAYA: Warganegara dan warga asing dikenakan 3 kadar harga masing-masing bagi 3 jenis ujian pengesanan Covid-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di pintu masuk negara.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini mengumumkan warganegara hendaklah membayar RM30 jika menjalani ujian pantas antibodi, atau RM60 bagi ujian pantas antigen, atau RM150 bagi ujian tindak balas berantai polimerase.

Manakala bagi warga asing pula, mereka dikenakan RM60, RM120, atau RM250 bagi ujian sama.

“Mana-mana warganegara atau orang asing yang memasuki Malaysia dari luar negara hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan Covid-19 sebelum mendapat pelepasan imigresen di mana-mana pintu masuk negara.

“Selain itu, mana-mana warganegara atau orang asing yang berada di Malaysia boleh meminta untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 di mana-mana hospital kerajaan atau klinik KKM dan hendaklah membayar fi bagi ujian pengesanan Covid-19,” kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini.

Pengenaan bayaran ujian pengesanan Covid-19 ditetapkan bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Koronavirus 2019) (Covid-19) yang berkuat kuasa 29 Jun.

Ujian pengesanan di pintu masuk antarabangsa dan fasiliti Kementerian Kesihatan akan menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

“Manakala ketika ini ujian kit ujian pantas antibodi digunakan ke atas individu yang diletakkan bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah pada hari ke-13, sebelum mereka dilepaskan dari perintah tersebut pada hari ke-14,” kata menteri.

Bayaran diketepikan bagi 3 golongan iaitu pegawai kerajaan yang memasuki Malaysia dari luar negara atas tugasan rasmi di luar negara; orang kurang upaya (OKU) yang memasuki Malaysia dari luar negara; dan pelajar warganegara Malaysia – persendirian atau tajaan – yang memasuki Malaysia dari luar negara kali pertama.

Mereka dikehendaki mengemukakan surat arahan rasmi berhubung tugasan rasminya, atau kad OKU yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, atau bukti pengajian.

Pengecualian tidak terpakai kepada ahli keluarga mereka.