Yayasan Sabah tandatangani perjanjian pembangunan RM7 bilion di Lok Kawi

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara pengarah Yayasan Sabah Jamalul Kiram (kiri) dengan wakil Tegas Bangsa Sdn Bhd Jerard Lim Jen Jiang hari ini.

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah bersama Tegas Bangsa Sdn Bhd (TBSB) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama bagi pembangunan bernilai RM7 bilion di Kampung Meruntum Lok Kawi, di sini.

Yayasan Sabah diwakili oleh pengarahnya Jamalul Kiram Mohd Zakaria, manakala Tegas Bangsa Sdn Bhd diwakili oleh pengarah pembangunan perniagaan Wee Seng Fatt dan Jerrad Lim Jen Jiang.

Majlis di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

Dalam sidang medianya Shafie berkata, tanah milik Yayasan Sabah seluas 391 ekar itu akan dibina dengan beberapa buah bangunan, termasuk hotel, resort dan taman tema.

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 15 tahun dan merupakan pembangunan berskala besar.

“Lokasi (pembangunan) ini agak strategik dan berhampiran dengan laut selain beberapa pulau yang boleh menjadi tarikan bukan hanya kepada pelabur serta pembeli hartanah, tetapi juga untuk pelancong datang ke Sabah,” katanya.

Gambaran pelukis cadangan projek bernilai RM7 bilion yang dijangka mengubah kawasan pantai Putatan di Sabah.

Sementara itu Jamalul Kiram berkata, projek itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh 6 bulan.

Projek itu juga diharap akan dapat memberi dana kepada yayasan itu untuk meneruskan pelbagai program di bawah kendaliannya.

Setelah pelaksanaan perjanjian itu, TBSB akan membayar sebanyak RM8.4 juta, manakala sebagai pemilik tanah, Yayasan Sabah turut berhak mendapat pembayaran minimum sebanyak RM840 juta daripada nilai keseluruhan pelaburan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Shafie berkata, kerajaan negeri turut menetapkan kapasiti pelaksanaan majlis anjuran kerajaan dan swasta tidak melebihi 250 orang bergantung kepada saiz ruang dan penjarakan sosial dilokasi penganjuran.

“Kita akan ikut apa yang diumumkan kerajaan persekutuan. Kita ikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.