Anwar ikrar pertahan speaker, timbalan speaker Parlimen

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, pelantikan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat dibuat secara sah dan tidak ada sebab mereka perlu disingkirkan.

PETALING JAYA: Ketua pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu berikrar akan menggagalkan usul untuk menyingkirkan speaker, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming pada persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.

Katanya, pemilihan Ariff dan Nga dibuat secara sah dan tiada sebab untuk mereka ditukar.

“Dalam sidang Parlimen kali ini (13 Julai), kita harus tegas mempertahankan kedudukan speaker dan timbalan speaker yang dipilih secara sah,” katanya dalam siaran langsung di Facebook malam ini.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersikap jumud kerana menjadikan alasan pandemik Covid-19 bagi menghalang persidangan Parlimen lebih panjang sebelum ini.

“Dulu mereka beri alasan kita ada Covid-19, tidak payah bincang, buang masa. Sikap jumud beginilah menyebabkan kita menyerah nasib negara dan keseluruhan rakyat kepada beberapa kerat penguasa,” katanya merujuk kepada persidangan sehari Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas.

Pada 26 Jun Muhyiddin mengemukakan usul bagi menggantikan Ariff dan Nga dalam persidangan yang dijadualkan pada 13 Julai ini.

Ariff yang mengesahkan menerima usul itu berkata, usul berkenaan diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat.

Dalam perkembangan lain, Anwar menggesa sekutunya dalam PH supaya kekal dalam perjuangan dan tidak lari daripada prinsip sehingga terdesak untuk kembali berkuasa.

“Semangat dalam PH jangan dirungkai, jangan terdesak terpaksa bergantung di dahan yang rapuh yang kemudian akan menikam kita. Seperti yang berlaku sebelum ini, letak jawatan sesuka hati tanpa rujukan kepada sesiapa, kucar kacir kita, langgar prinsip dan juga manifesto.

“Perkukuh PH. DAP, Amanah dan PKR harus mantap,” katanya dan secara berkias dipercayai merujuk kepada sekutunya dalam PH yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri PH yang baru.

Anwar turut menafikan dakwaan bahawa gabungan PH berpecah susulan perbezaan pendapat berhubung isu calon perdana menteri.

“Saya ingin jelaskan dalam mesyuarat PH dari awal, bukan sahaja wakil PKR, tetapi juga Amanah dan DAP tidak pernah pertikai mandat rakyat 2018 dan janji peralihan kuasa hanya kerana berlaku perbezaan pendapat tentang soal calon perdana menteri.

“Ini tidak harus dijadikan isu untuk jejaskan hubungan, walaupun di peringkat bawah kadang-kadang ada sedikit tegur menegur dan serang menyerang.

“Saya harap ia dihentikan kerana ini mengganggu pendirian kita dalam PH,” katanya dipercayai merujuk kepada cadangan terbaru untuk menamakan presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH selepas Mahathir sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh semula kuasa kerajaan.