Baki 2 isu berkait RTS dijangka selesai minggu depan, kata Azmin

Projek RTS sepanjang 4 km yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura bakal membolehkan kira-kira 10,000 penumpang, khususnya rakyat Malaysia merentasi Singapura untuk bekerja di republik itu.

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan baki 2 isu berbangkit berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor dan Singapura dijangka dapat diselesaikan minggu depan sebelum keseluruhan proses rundingan mengenainya dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, jaminan itu diberikan sewaktu beliau menghubungi pihak kementerian terbabit, pagi ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara sebelum ini menghadapi sebanyak 222 isu berbangkit berhubung projek berkenaan, namun 220 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala baki 2 isu pula bakal diselesaikan pada minggu depan.

Difahamkan jawatankuasa teknikal akan bersidang pada 13 Julai ini untuk selesaikan 2 isu penting itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat industri di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Diminta mengulas lanjut mengenai 2 isu yang belum diselesaikan itu, Azmin berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan kerana perkara itu sedang dibincangkan.

“Isu itu masih menunggu kelulusan daripada kedua-dua negara dan semasa saya menghubungi pihak Kementerian Pengangkutan pagi ini.

“Pihak kementerian memberi jaminan kedua-dua pihak dijangka dapat menyelesaikan (baki isu) kerana kita diberi sehingga akhir Julai untuk memuktamadkan keseluruhan proses rundingan.

“RTS ini penting untuk memberi kemudahan kepada rakyat Johor yang terpaksa ke Singapura untuk tujuan pekerjaan dan kita memang dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor,” katanya.

Sementara itu Hasni berkata, perkembangan itu merupakan berita baik bagi rakyat negeri ini kerana RTS akhirnya bakal menjadi kenyataan.

“Ia akan menjadi pencetus perubahan untuk Johor mewujudkan rantaian bekalan yang melibatkan pelbagai sektor,” katanya.

Projek RTS sepanjang 4 km yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura bakal membolehkan kira-kira 10,000 penumpang, khususnya rakyat Malaysia merentasi Singapura untuk bekerja di republik berkenaan.

Pembinaan projek tersebut sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali.