Bukan niat saya tidak maklum kepada Putrajaya berhubung pekerja warga China, kata Shafie

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal (kiri) diberi taklimat oleh pegawai Sawit Kinabalu berhubung pengeluaran jenama minyak sawit kedua negeri Sabah, iaitu “Gold”.

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini berkata, beliau tidak berniat untuk tidak memaklumkan kepada Putrajaya berhubung rancangan negeri itu membenarkan pekerja asing dari China kembali bekerja di Sabah.

Katanya, beliau memaklumkan niat itu kepada beberapa kakitangan imigresen pada mesyuarat antara agensi kerajaan baru-baru ini dan percaya mereka terlambat menyampaikan maklumat itu ke Putrajaya.

“Saya telah maklumkan kepada Jabatan Imigresen. Saya meminta perkara itu diselaraskan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“Saya belum menghubungi menteri terbabit, tetapi saya akan lakukannya. Saya mahukan kerjasama antara kerajaan dalam perkara ini.

“Jangan besarkan perkara ini.

“Saya telah maklumkan kepada setiausaha kerajaan negeri dan beliau akan menghubungi rakan sejawatannya di peringkat persekutuan.

“Lebih penting ialah kita mengenal pasti kesilapan yang berlaku. Setelah kita menyedarinya, maka kita perlu mengatasi kesilapan itu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jenama kedua minyak sawit negeri itu, iaitu “Gold”.

Minyak masak itu dikeluarkan oleh Syarikat Intipati Minyak Sdn Bhd dan Sawit Kinabalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata semalam, kerajaan Sabah tidak menghubungi Putrajaya berhubung keputusannya membenarkan pekerja warga China kembali ke negeri itu.

Beliau berkata, sempadan negara masih ditutup daripada kemasukan asing, terutama pelancong di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Berjangkit 1988.

Kuasa imigresen termasuk dalam bidang kuasa persekutuan, tetapi Sabah mempunyai kuasa khas bagi mementukan individu yang boleh dan tidak boleh memasuki negeri itu di bawah akta tersebut.

Shafie berkata, perkara itu seharusnya ditangani antara kerajaan, walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa imigresen khas.

Beliau berkata, pekerja asing terbabit terdiri daripada pakar teknikal dan kerajaan Sabah mempunyai perjanjian dengan syarikat dari China bagi membenarkan jumlah tertentu pekerja mereka bagi menyiapkan projek negara itu di sini.

“Terdapat banyak projek yang dijalankan oleh syarikat China yang terhenti susulan wabak Covid-19. Mereka banyak melabur di sini dan kini memerlukan pas pekerja untuk kembali bekerja.

“Jika kita tidak benarkan mereka masuk, bangunan mereka tidak akan siap. Perkhidmatan kereta api kita juga tidak boleh beroperasi.

“Apabila semuanya berjalan semula, akan ada pekerjaan untuk rakyat tempatan. Ekonomi kita akan memulih dan penduduk Sabah mendapat gaji untuk membeli makanan,” katanya.