Covid-19: Singapura catat 185 kes baru, 9 dalam komuniti

Singapura mengklasifikasikan 1,911 daripada kes Covid-19 di republic itu dikaitkan dengan komuniti, 590 sebagai kes import dan 41,978 membabitkan pekerja asing di asrama. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Memasuki minggu ke-3 fasa 2 pembukaan semula ekonomi, Singapura hari ini melaporkan 185 kes baru jangkitan Covid-19 dengan 9 kes dalam komuniti.

Dengan perkembangan terbaru itu, menjadikan jumlahnya kepada 44,664 kes di republik ini.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti melibatkan 4 rakyat Singapura atau penduduk tetap dan 5 pemegang pas pekerja.

Sebagai tambahan, terdapat 1 kes import membabitkan penduduk tetap Singapura yang ditempatkan di bawah Notis Duduk Rumah sebaik tiba di negara ini, manakala baki kes baru melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut kementerian itu.

Menurut data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,911 daripada kes dikaitkan dengan komuniti, 590 sebagai kes import dan 41,978 membabitkan pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 39,769 atau kira-kira 89% pesakit sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 223 kes disahkan masih berada di hospital semalam, dengan 1 dirawat di Unit Rawatan Rapi, menurut kementerian itu.

Kenyataan itu menambah bahawa 4,461 pesakit yang mempunyai gejala sederhana atau secara klinikal sihat, tetapi masih diuji positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dengan 2 kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baru dikenal pasti semalam.