Kerajaan Sabah setuju serah semula Ladang Bagahak kepada pekebun kecil, kata KM

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, Kabinet negeri memutuskan untuk menyerahkan kembali tanah Ladang Bagahak 2 & 3 seluas 6,900 hektar di Lahad Datu kepada pemilik asal.

SANDAKAN: Kerajaan Sabah menyerahkan kembali Ladang Bagahak 2 dan 3 di Lahad Datu kepada pekebun kecil setelah kedua-duanya berjaya dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit komersial, kata Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, tuntutan ke atas tanah seluas kira-kira 6,900 hektar itu mengambil masa 12 tahun dan akhirnya dapat diselesaikan bulan lepas setelah Kabinet negeri memutuskan untuk menyerahkan kembali tanah berkenaan kepada pemilik asal.

“Pekebun kecil yang terlibat hampir 2,000 orang dalam usaha sama membangunkan tanah itu bersama-sama Kumpulan Sawit Kinabalu.

“Sebenarnya penduduk di kawasan itu meminta kerajaan negeri membangunkan tanah tersebut sejak dari 1996 lagi dan Sawit Kinabalu tampil untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan minyak masak jenama Gold keluaran anak syarikat Sawit Kinabalu, Intipati Minyak Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Penyerahan geran tanah secara simbolik kepada pekebun kecil berkenaan turut diadakan pada majlis yang sama.

Mohd Shafie berkata, penyerahan geran tanah itu penting dan menepati matlamat asal Ladang Bagahak, iaitu ke arah membangunkan ladang komersial pekebun kecil untuk meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, susulan penyerahan itu, Sawit Kinabalu kini dapat memberikan tumpuan membantu kerajaan negeri dalam membangunkan aktiviti ekonomi.

Ia juga akan diberikan tanah seluas 18,000 hektar sebagai pampasan susulan penyerahan kembali tanah Ladang Bagahak 2 dan 3 oleh kerajaan negeri untuk dibangunkan, katanya.