MB tak desak saya lepas jawatan exco, kata Haniza selepas dipecat PKR

Haniza Talha (3 dari kiri) berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah ‘Bina Semula Rumah’ di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu hari ini.

KUALA KUBU BHARU: Haniza Talha yang dilucutkan keahliannya oleh PKR minggu lalu berkata, tiada desakan daripada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk beliau melepaskan jawatan exco negeri setakat ini.

Exco perumahan dan kehidupan bandar Selangor itu bagaimanapun berkata, ada seorang exco negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) yang mengarahkan urus setia sebuah mesyuarat yang dihadirinya baru-baru ini supaya mengeluarkan namanya.

“Rata-rata penjawat awam faham mengikut tatakelola pentadbiran kerajaan, jawatan exco hanya akan tamat atas surat arahan menteri besar dan bukan arahan parti politik,” katanya kepada FMT sebelum Majlis Perasmian Pecah Tanah “Bina Semula Rumah” di Felda Sungai Tengi hari ini.

Pada 28 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza.

PKR menggantung keahlian Haniza sejak 6 April lalu kerana menemui bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Bekas ketua Wanita PKR itu menyifatkan parti berkenaan dilihat membalas dendam dengan memecat dan “memburu” ahlinya yang rapat dengan Azmin.

Haniza berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai exco selagi belum ada arahan letak jawatan daripada menteri besar.

Haniza Talha menanam sepohon pokok sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah ‘Bina Semula Rumah’ di Felda Sungai Tengi hari ini.

Katanya, jika dilihat catatan di Facebooknya, beliau sentiasa aktif menjalankan tugas dan tanggungjawab yang digalas lebih 2 tahun sebagai exco negeri itu.

Katanya, beliau menerima surat daripada PKR pada 30 Jun lalu dan mempunyai 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan pelucutan keahliannya.

Susulan pemecatan Haniza, PKR kini mempunyai 17 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenanginya di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ia selepas Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Muhammad Hilman Idham (Adun Gombak Setia) dan Dr Daroyah Alwi (Adun Sementa) mengumumkan keluar parti.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH memiliki 41 kerusi, iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (8), manakala Barisan Nasional (5), PAS (1), PPBM (5) dan bebas (4).