Militan antara 2 maut berbalas tembakan di selatan Thailand

Renjer yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan di daerah Panare, Pattani, dikejarkan ke sebuah hospital untuk dirawat. (Gambar Bernama)

PATTANI: Dua termasuk seorang militan maut, manakala 2 renjer cedera parah dalam satu insiden berbalas tembakan di daerah Panare, Pattani, selatan Thailand semalam.

Ketua Polis Pattani, Piyawat Chalermsi berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang (waktu tempatan), pihak berkuasa mengepung sebuah rumah di Kampung Rawo yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota militan.

“Apabila pasukan keselamatan memasuki perkarangan kampung, mereka ditembak sekumpulan lelaki bersenjata.

“Insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan lelaki bersenjata itu menyebabkan seorang militan dan seorang sukarelawan maut di tempat kejadian, manakala 2 renjer cedera parah.”

Katanya, kumpulan lelaki bersenjata itu meloloskan diri dan pihak berkuasa mempergiatkan usaha menjejaki mereka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati militan yang maut mempunyai 2 waran tangkap pada 2010 dan 2011.